Khamis, 8 Disember 2011

MENGENAI IRANUN DI SABAH





CATATAN AWAL MENGENAI KEHADIRAN IRANUN DI SABAH

Menurut Tarsila Iranun, kedatangan orang-orang Iranun ke Borneo bermula selepas Sultan Brunei meminta bantuan daripada Sultan Kudarat di Ramitan untuk menghantar pasukan perwiranya untuk membantu memadamkan pemberontakan di Borneo beberapa ratus tahun yang lampau. Maka Sultan Kudarat menghantar sebanyak 12 perahu pahlawan-pahlawan Iranun untuk membantu Sultan. Setiap perahu menagndungi seramai 40 orang, menjadikan kesemuanya 480 orang yang dihantar untuk membantu Sultan Brunei.Selepas pemberontakan itu dapat dipadamkan, Sultan Brunei menawarkan agar mereka membuka petempatan di Borneo.Mereka menerima tawaran itu dan seterusnya menetap di Tempasuk, Tungku dan sebagainya. Ini versi tarsila Iranun.



Kedatangan Iranun ke Sabah, menurut satu sumber lain ialah ketika mereka menganggotai ekspedisi bersama Sharif Kabungsuwan menaiki perahu Awang yang boleh memuatkan seramai 200 hingga 300 orang ke Tempasuk, Sandakan dan sebagainya untuk menyebarkan agama Islam pada abad ke-16. Catatan awal ialah 1521. Orang-orang Iranun yang bersama para Sharif itu terus menetap di Borneo.



Teori ketiga ialah penglibatan masyarakat Iranun terhadap aktviti pelayaran dan perdagangan. Mereka memastikan bahawa di wilayah mereka tidak ada kapal asing yang menceroboh.Itulah sebabnya mereka menyerang kapal-kapal sepanyol yang cuba menggunakan jalur perdagangan dan pelayaran mereka. Penempatan mereka kebanyakannya terdapat di Tempasuk, Tungku dan Indarason kerana tempat itu menjadi pilihan mereka untuk berlindung dari tiupan angin ribut



Meskipun terdapat beberapa teori asal usul kedatangan sukubangsa Iranun di Sabah dari lupa a Iranun seperti yang terkandung dalam cerita-cerita rakyat, darangen dan bayuk, masyarakat Iranun di Sabah menganggap mereka berasal dari tanah borneo sendiri. Banyak buktinya, antaranya kerana jumlah rangkap yang terdapat di sabah lebih panjang daripada yang terdapat di Mindanao. Secara logik, orang dari tanah yang tinggi berhijrah ke tanah yang rendah, ini kata Bapa' Pinjaman Hassin. Sementara itu, dalam sejarah, memang tercatat kedatangan 10 datu dari Borneo meneroka Filipina.


Banyak buku yang boleh dirujuk. Antaranya Sejarah dan Adat Tradisi Iranun oleh Dr.Datu Bandira Datu Alang (kini allahyarham), Buku tulis James Warren. Tarsila Iranun, Tudtul daripada darangen dan bayuk juga boleh diambil kira, jika ada yang berminat untuk mengkaji suku bangsa Iranun.



Di MANA DIASPORA IRANUN? DI SABAH ATAU DI MINDANAO?


Seorang sarjana dari Filipina, Rolando C.Esteban yang pernah menulis mengenai diaspora Iranun memetik satu sumber yang menyatakan bahawa diaspora Iranun bermula sebelum dan selepas 1765. Ada dua gelombang diaspora Iranun. Ada bukti yang menyatakan bahawa kesultanan Iranun telahpun wujud di Tempasuk sejak beratus-ratus tahun lalu. Menurut catatan William Pretyman, Datu-Datu Iranun mempunyai pengaruh yang cukup luas dan besar ketika beliau pertama kali menjejak kaki di Tempasuk pada 1878. Mungkinkah kesultanan Iranun, wujud seratus atau dua ratus tahun lebih awal daripada itu.Jawapannya ada ditangan pengkaji sejarah.



Dimana diaspora Iranun. Orang Iranun di Sabah menggelar orang Iranun di Mindanao sebagai `bagu a iranun' yang bermakna Iranun baru. Dengan jelas mereka mengklasifikasi bahawa Iranun dari Mindanao itulah kelompok Iranun yang baru yang berhijrah dari tanah besar ke kepulauan Nusantara ini-khususnya Mindanao.




Menurut cerita Qadi Nurul Caqim, ketika ditanya oleh Jeneral Robert Bullard, gabenor Lanao pada tahun 1906, beliau menyatakan asal usul bangsa Maranao adalah dari Tempasuk Sabah.Katanya, nenek moyang orang Maranao-Iranun mengakui bahawa mereka berasal dari Tempasuk.Itulah sebabnya nama Tempasuk banyak disebut dalam dongeng dan cerita lisan mereka.Bagaimanapun, beliau menyatakan orang Iranun di Sabah datang dari Lanao- kebanyakan pengkaji menyatakan dari Butig, Lanao, selepas gunung berapi Makaturing meletus dalam tahun 1765.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan